BaNdAr TeNgGaRa..!!!


Bandar Tenggara adalah sebuah penempatan yang dibangunkan dalam wilayah pembangunan KEJORA, Johor. Terletak di tengah-tengah antara Bandar Kulai, Bandar Kota Tinggi dan Bandar Kluang. Mula diwujudkan sekitar tahun 1972. Dari asal sebuah penempatan untuk pekerja-pekerja ladang sawit yang hanya menempatkan 100 buah rumah, Bandar Tenggara kini telah berubah dengan pesatnya setelah 35 tahun berlalu di bawah kelolaan Lembaga Johor Tenggara (KEJORA) Bandar Tenggara.


Populasi

Bandar Tenggara kini menampung penduduk seramai hampir 15,278 orang dengan jumlah rumah 3,021 buah rumah dan hampir 200 buah premis perniagaan. Kawasan penempatan penduduk telah dibahagikan kepada 17 zon kecil di bawah Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Masyarakat Bandar Tenggara (JKKMBT). Jumlah penduduk juga semakin bertambah hasil daripada penambahan kawasan perumahan baru di sekitar Bandar Tenggara dan ini menjadikan komuniti Bandar Tenggara semakin berkembang pesat seiring dengan perkembangan pada masa kini.


Kemudahan

Pelbagai kemudahan lengkap telah disediakan seperti Masjid Al-Husna Bandar Tenggara, surau, dewan serbaguna, balai raya, taman permainan, perpustakaan awam dan sebagainya. Manakala pada masa kini pembinaan Balai Polis sedang dalam proses pembangunan bagi mempertingkatkan lagi tahap keselamatan penduduk Bandar Tenggara dan di kawasan sekitarnya.

Pembangunan masa hadapan

Terletak di kawasan yang dikategorikan sebagai tempat yang komersil dari segi ekonomi dan pembangunan, kawasan Bandar Tenggara rancak dalam pembangunan dan dari sektor pendidikan banyak diberi keutamaan bagi memastikan setiap anak-anak di kawasan Bandar Tenggara memperolehi pendidikan yang mencukupi.

Perindustrian

Dalam bahagian perindustrian, dengan kedudukan strategik yang menghubungkan antara daerah Kluang, Kulai dan Kota Tinggi, perindustrian kian pesat membangun dan memberi impak positif kepada penduduk dari segi ekonomi. Penduduk tidak perlu mencari peluang pekerjaan di kawasan lain, ini kerana Bandar Tenggara telah banyak menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk terutamanya dalam sektor perkilangan serta industri kecil dan sederhana yang memberi peluang kepada usahawan bumiputra memasarkan produk dengan lebih meluas lagi. Dengan itu, Bandar Tenggara dapat dilihat mempunyai kredibiliti yang tinggi untuk terus membangun dan berkembang pada masa akan datang.

Comments